Aduan Pertukaran Pengarah Projek Supertelefilem “Redha” (Dana STAR 2025)

FDAM ingin memaklumkan bahawa sesi mesyuarat perbincangan berkaitan aduan pertukaran pengarah bagi projek Supertelefilem “Redha” (Dana STAR 2025) telah berlangsung dengan lancar di FINAS Hulu Kelang.

Mesyuarat ini turut dihadiri oleh wakil FDAM iaitu En Faizal Ariff (Setiausaha Agung), En Faisal (Chal) Ahmad (Biro Penguatkuasaan & Undang-Undang) serta En Azmi Jamsari (Ketua Biro Media & Komunikasi).

Dalam perbincangan tersebut, FDAM dengan tegas menyatakan pendirian untuk terus mempertahankan hak serta kepentingan ahli, khususnya dalam memastikan integriti dan profesionalisme bidang pengarahan sentiasa dipelihara.

Pihak penerbit turut mengakui kekhilafan yang berlaku dan secara terbuka bersetuju untuk memohon maaf atas isu yang timbul. FDAM menghargai sikap keterbukaan ini sebagai langkah positif ke arah penyelesaian yang lebih harmoni dalam industri.

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) atas komitmen dan ruang perbincangan yang diberikan dalam memastikan setiap isu dapat ditangani secara profesional dan berhemah.

FDAM kekal komited memperjuangkan kebajikan serta maruah pengarah filem Malaysia.
Share to: