FDAM Pertahankan Hak Shuhaimi Digugurkan Sebagai Pengarah Tanpa Sebab Munasabah

FDAM Pertahankan Hak Shuhaimi Digugurkan Sebagai Pengarah Tanpa Sebab Munasabah
Afdlin menyeru penerbit, pengarah dan badan berkaitan agar kembali kepada prinsip hormat, telus dan saling mengiktiraf dalam setiap usaha memperkasa industri perfileman Malaysia. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) memandang serius isu pengguguran nama pengarah filem Misteri Fraser 1910, Shuhaimi Zulkefli daripada bahan promosi rasmi filem itu.

Difahamkan, Shuhaimi bertanggungjawab sejak awal pembangunan naskhah itu termasuk proses praproduksi dan tugas pengarahan di lokasi.

Bagaimanapun, nama Shuhaimi tidak langsung dipaparkan dalam poster rasmi filem dan tidak dibenarkan terbabit dalam pasca produksi, malah tiada pengiktirafan terbuka terhadap sumbangannya sebagai pengarah utama.

Pengerusi FDAM, Datuk Afdlin Shauki, berkata tindakan mengenepikan sumbangan pengarah tanpa penjelasan yang munasabah bukan sahaja memberi kesan terhadap reputasi profesional individu, tetapi boleh mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penggiat industri terhadap hak mereka yang berpotensi dinafikan dalam keadaan sama.

“Isu ini berlaku kepada filem yang menerima sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) melalui dana Dana Filem Cereka Pertama (FAME) yang sepatutnya mematuhi garis panduan ketelusan dalam menyalurkan pengiktirafan dan hak kepada tenaga kerja kreatif.

“Justeru, FDAM memohon campur tangan FINAS dan pertimbangkan penyelesaian secara berhemah dan adil, demi melindungi kepentingan semua penggiat industri dan memastikan kelestarian ekosistem kreatif negara.

“Isu ini menjadi lebih berat apabila Shuhaimi ada membuat kenyataan secara terbuka hingga menimbulkan rasa tidak puas hati penerbit sehingga membawa kepada ugutan tindakan undang-undang dan tuntutan ganti rugi RM1 juta.

“Perkara ini mencerminkan hubungan tegang dan tidak sihat dalam kolaborasi antara pengarah dan penerbit yang sepatutnya dibina atas dasar profesional serta kontraktual yang jelas,” katanya.

Tambah Afdlin, FDAM akan mempertahankan hak Shuhaimi sebagai pengarah sah filem, selaras dengan prinsip dan etika kerja yang termaktub dalam industri perfileman.

“Kami menggesa penerbit memberikan penjelasan terbuka dan profesional berkenaan keputusan menggugurkan nama beliau daripada sebarang bahan promosi.

“Kami juga menyeru penerbit, pengarah dan badan berkaitan agar kembali kepada prinsip hormat, telus dan saling mengiktiraf dalam setiap usaha memperkasa industri perfileman Malaysia,” katanya.

Source: https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2025/05/1395397/fdam-pertahankan-hak-shuhaimi-digugurkan-sebagai-pengarah-tanpa

Share to: