FDAM Tuntut Penjelasan Penerbit Filem Misteri Fraser 1910

FDAM Tuntut Penjelasan Penerbit Filem Misteri Fraser 1910

Kuala Lumpur: Pengerusi Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Datuk Afdlin Shauki menuntut penjelasan terbuka dan profesional daripada penerbit filem Misteri Fraser 1910 susulan pengguguran nama pengarah filem itu, Shuhaimi Zulkefli daripada bahan promosi termasuk poster urama tayangan.

Afdlin berkata, FDAM memandang serius perkara itu sekali gus akan mempertahankan hak Shuhaimi sebagai pengarah sah filem itu, selaras dengan prinsip dan etika kerja yang termaktub dalam industri perfileman.

“Shuhaimi yang juga ahli aktif FDAM dilaporkan bertanggungjawab sejak dari awal pembangunan filem ini sebagai pengarah asal, termasuk dalam proses pra-produksi serta tugas pengarahan ketika produksi di lokasi.

“Bagaimanapun, namanya tidak langsung dipaparkan dalam poster rasmi filem itu, tidak dibenarkan terbabit dalam pasca produksi, malah tiada pengiktirafan terbuka terhadap sumbangan dia sebagai pengarah utama.

“FDAM menggesa agar pihak penerbit memberikan penjelasan terbuka dan profesional berkenaan keputusan menggugurkan nama Shuhaimi daripada sebarang bahan promosi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Afdlin, pengguguran nama Shuhaimi dilaporkan berpunca daripada satu kenyataan awam yang didakwa menimbulkan rasa tidak puas hati penerbit sehingga membawa kepada ugutan tindakan undang undang dan tuntutan ganti rugi RM1 juta.

“Perkara ini mencerminkan hubungan yang tegang dan tidak sihat dalam kerjasama antara pengarah dan penerbit yang sepatutnya dibina atas dasar profesional dan kontraktual yang jelas.

“Filem ini difahamkan mendapat sokongan dana Dana First Time Amateur Filmmaker (Fame) daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sekali gus menjadikan perkara ini sebagai satu isu yang memerlukan perhatian dan penjelasan sewajarnya daripada pihak-pihak berkaitan.

“Lebih mengecewakan, isu ini berlaku dalam konteks filem yang menerima sokongan badan kerajaan iaitu Finas melalui dana Fame, yang sepatutnya mematuhi garis panduan ketelusan dalam menyalurkan pengiktirafan dan hak kepada tenaga kerja kreatif yang terbabit,” katanya

Dalam masa sama, FDAM memohon agar Finas campur tangan dan mempertimbangkan penyelesaian secara berhemah dan adil, demi melindungi kepentingan semua penggiat industri dan memastikan kelestarian ekosistem kreatif negara.

“Tindakan mengenepikan sumbangan pengarah tanpa penjelasan yang munasabah bukan saja memberi kesan terhadap reputasi profesional individu, malah boleh mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penggiat industri yang bimbang terhadap hak mereka yang berpotensi dinafikan dalam keadaan serupa.

“FDAM menyeru semua penerbit, pengarah dan badan-badan berkaitan agar kembali kepada prinsip hormat, telus dan saling mengiktiraf dalam setiap usaha memperkasa industri perfileman Malaysia,”katanya.

Source: https://www.hmetro.com.my/rap/2025/05/1218015/fdam-tuntut-penjelasan-penerbit-filem-misteri-fraser-1910

Share to: